Monday, October 24, 2011

~Antara Cita-Cita dan Harapan~

Lembut tutur seorang emak terhadapku saat itu sangat mencengkam jiwa yang paling dalam. Walaupun ayat yang tersusun rapi itu tampak biasa namun itulah emak. Ayat penuh dengan hikmah yang tersembunyi dan bijak bermain dengan psiko ku tatkala itu. Gigi terketap menahan rasa yang berbaur-baur. Gembira mendapat tawaran ke Institut Pendidikan Guru diterima pagi tadi namun itu bukan bererti aku bersungguh-sungguh untuk menerimanya, namun sekadar rasa syukur kerana berkelayakan untuk memasuki institut tersebut. Hati begitu teguh untuk mencapai cita-cita yang diidamkan. Kini terpaksa berdepan dengan harapan orang yang teristimewa dalam hidupku.

“Harus bagaimana harusku pilih? Cita-citaku atau harapan emak dan ayah?” kalbuku berbisik dengan penuh emosi. Bantal di atas lantai di ambil lalu muka diterkup. Aku menangis semahu-mahunya. Semua tidak akan faham apa perasaan aku saat ini. Permintaannya terlalu sukar untuk kuturuti. Dia hanya berkata-kata, tapi kata-katanya sebagai seorang emak begitu menyentuh hatiku yang mula berganjak dewasa.

Emak tidak seperti ayah. Kedua-dua mempunyai watak yang sangat berbeza, namun kata pasangan bercinta, perbezaan itulah yang melengkapi kekurangan mereka. Ayah meletakkan segala keputusan di tangan ku walaupun hakikatnya kedua-dua mempunyai harapan yang sama.

“Ayah tak mahu memaksa. Kalau nak jadi doktor, teruskanlah tapi ayah mahu kamu kuat daripada biasa.”

.......................................................................................................................................

Berita mengenaiku tentang tawaran ke Institut Pendidikan Guru telah tersebar di antara rakan-rakan sekelas. Ada yang memberi sokongan untuk teruskan dengan impian mak dan ayah dan tak lekang jua ada yang menyatakan mereka tidak sanggup untuk kehilangan sebuah persahabatan yang baru bermula. Tautan hati pada ketika itu terlalu berlainan. Bermula di awal perkenalan pada ketika itu, sudah mula merasakan persahabatan yang sangat kukuh seolah-olah telah lama bertemu dan mengenali antara satu sama lain.

Inilah kisah seorang gadis remaja yang dilema dalam menentukan masa hadapannya. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Air mata diseka dari jatuh melintasi pipi. Teringat kenangan- kenangan lama, kenangan waktu kecilku. Segala keputusan terletak ditangan mak dan ayah. Apa yang diperkatakan harus dituruti. Namun kini, keputusan yang terbesar yang harusku lakukan ini melibatkan sebuah masa depan. Lembut dia bertutur dalam dakapanku, menyatakan hasratnya dalam nada yang tiada paksaan namun penuh dengan harapan, “bukan maksud mak hendak menentukan hidup kau, tetapi kau fikirkanlah.”

.......................................................................................................................................

“Cikgu, cikgu fahamkan apa yang saya rasa sekarang ini? Apa yang saya nak buat?” adu ku kepada guru kesayanganku.

“Walaupun saya baru kenal awak tapi saya tahu di mana kekuatan dan kelemahan awak. Tapi ingat, harapan mak dan ayah awak lebih penting untuk dipenuhi walaupun kekuatan lebih berpihak pada cita-cita awak.” kata Cikgu Effendi berbaur memujuk.

Alkisahnya, dia seorang guru yang sangat ku kagumi. Namun mengaguminya bukan bererti aku bercita-cita untuk bekerjaya sepertinya. Dia bukanlah seorang guru yang berkelayakan untuk berada di sebuah sekolah. Pada awalnya dia pernah menjadi seorang tentera di Singapura kemudian bergelar jurutera serta usahawan tempe berjaya ketika mula menjejakkan kaki di bumi Malaysia. Sungguh kerjayanya sebelum ini cukup membanggakan bagi sekalian manusia yang mengejar kekayaan.

“Fendi, mak nak engkau jadi cikgu.” cikgu Fendi mengulang tayang kisah hidupnya.

“Doa ibu, Allah sentiasa perkenankan. Mungkin melalui pekerjaan ini saya yakin akan berkah kurniaan-Nya. Walaupun saya tidak layak dipanggil seorang guru, tapi ini hasilnya. Ilmu yang dimiliki adalah anugerah yang tidak dapat dilihat oleh mata dan tidak dapat difikirkan oleh akal. Semuanya dari Allah.” kata-katanya memburai butir-butir kekusutanku.

Terlalu sukar dengan kemelut perasaan ini. Baruku sedar, menjadi dewasa bukan semudah yang disangka. Jika sewaktu kecil, impianku ingin menjadi dewasa, hidup bebas tanpa kawalan, boleh bekerja dan perolehi wang. Tapi kini, baru menginjak detik dewasa, perkara pertama mengenai masa depan mula membebani akal yang baru setahun jagung ini. Membuat pilihan pertama dalam hidup ibarat melambung wang syiling di awangan, dan kebarangkaliannya tentulah antara bunga dan kepala.

“....dan di antara keduanya, pasti ada yang terkorban kerana..... cinta itu .....pengorbanan...Allah pernah berfirman di dalam surah Al- Bakarah, dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat ” tersentak aku dari lamunan.

Mungkin mudah mulut berbicara berbanding hati yang sukar untuk menerima. Kerjaya itu masih mampu kuterima namun bidang yang tertera dalam surat tawaran itu serta tempat yang ditawarkan begitu berat untuk mata ini menatapnya apatah lagi untuk diri ini mengharunginya.

.......................................................................................................................................

Masa masih tersisa buatku untuk membuat keputusan. Masih belum terlewat buatku untuk meraih cinta-Nya. Saban hari aku menanti malam kunjung tiba, meluah segala resah kepada sang Pemanggil yang berharap doa dipohon dari-Nya kerana Dia mencintai hamba-Nya yang meminta-minta kepada-Nya. Air mata ini ibarat sungai yang mengalir, yang enggan berhenti sehingga tiba ke pengakhirannya iaitu di lautan. Namun ia tidak akan bercampur antara masinnya lautan dan payau air di sungai. Itulah destinasi kehidupan manusia, mencari arah, akhirnya meminta didamparkan di persimpangan yang telah tercipta buatnya.

Saat istikharah dipohon, “kepada-Mu kami sembah dan kepada-Mu kami memohon pertolongan,” bergetar jiwa mengharap belas yang Maha Agung saat melintasi baris-baris madahNya. Terhenti aku seketika seraya berdoa di dalam hati, “ Ya Allah, sesungguhnya pengetahuan-Mu terlalu luas, meliputi yang di langit dan di bumi, sehingga pengetahuan-Mu melintasi apa yang terzahir dan menembusi apa yang tersembunyi. Kepada-Mu aku berharap dan berserah.”

Seusai memuji nama-nama-Nya, aku berjalan dan menghampiri meja tulisku. Satu persatu buku yang baruku beli diasingkan dan dimasukkan ke dalam sebuah kotak.

“Kenapa masukkan buku tu ke dalam kotak?” tiba-tiba aku tersentak dari lamunan. Mengucap aku di dalam hati mencari makna di sebalik kebetulan ini.

“Kau dah buat keputusan ke?” tanya kawan sebilik ku. Aku hanya mampu memandangnya dengan sebuah keluhan yang aku sendiri tidak sedari tanpa sebaris jawapan. Longlai aku melangkah ke katil. Sebelum mata terpejam, aku sempat memikirkan peristiwa sebentar tadi.

......................................................................................................................................

Aku sudahpun bersedia serta redha dengan keputusan Malaysia University English Test (MUET) sebelum aku menerimanya pagi tadi. Meskipun air mata yang keluar dan resah yang menyelubungi selepas mengetahuinya bukanlah kerana kecewa terhadap keputusan yang kumiliki namun lebih kepada merasakan pandangan dari kaca mata insan-insan yang tidak pernah memahami hakikat sebenar yang aku lalui saat ini. Mungkin keputusan yang aku miliki tatkala ini tidak menggambarkan siapa aku di dalam bidang ini.

mak..ayah..maafkan aku...jika dulu aku menjadi kebanggaan mu...kerana kegemilangan yang Allah anugerahkan...tapi kini...kau mengalirkan air mata kehampaan kerana aku...sungguh, aku telah letakkan harapan kalian ini di dalam genggam dengan membawa nama Ilahi..tapi aku masih kencundang...Kalian terlalu meletakkan keyakinan, sehingga tak pernah kalian sedar, kalian telah meletakkan satu kekecewaan yang pasti kerana aku..aku termarah kalian kerana harapan kalian yang aku dukung ini...bukan...bukan aku bermaksud..tapi sudah acap aku bilang...aku tidak mampu....tapi demi menyeka air mata kalian, aku korbankan air mataku demi kalian...mak..ayah...bukan niatku membuat kalian terasa dan kecewa..tapi inilah kenyataan..dan kini serta ini adalah bukti bahawa apa yang aku katakan dulu..aku tak pernah terlayak kerana aku tahu akan kemampuanku..sebak suaraku kau dengar bukan...hati aku tak tertahan...tapi ku tabahkan jua...harus bagaimana lagi aku katakan?? Maaf mak...ayah...ini yang aku termampu..maaf atas hadiah kekecewaan ini dan mungkin akan datang....

Analogi ku saat ini ibarat seorang pelajar jurusan Pendidikan Jasmani . Sudah tentu orang akan memandang akan keupayaan dan kebolehan mereka dalam bersukan tetapi keupayaannya terlalu terhad untuk melakukannya. Contohnya berlari, ada yang boleh berlari laju dan tak mustahil juga ada di antara mereka yang masih tidak berjaya mencapai masa sasaran walau latih tubi sering dilakukan.

“Ya Allah, hampir dua tahun sudah berlalu. Aku masih setia menunggu saat Kau mengabuli rintihan ku, Ya Allah.” doa kalbu ini sering mengekori aku saat aku merasa seolah-olah jatuh dan jatuhku adalah setiap saat semenjak aku di sini.

Keputusan di tanganku membuktikan bahawa aku di sini, di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu ini adalah di atas nama takdir dan segala keputusan yang aku miliki hingga kesaat ini juga berlindung di atas nama takdir. Meraba juga aku di dalam kegelapan, mencari sedikit kelebihan diri yang tersisa, namun sedikit pun tiada.

.......................................................................................................................................

Terkenang peristiwa lama sewaktu aku menerima keputusan SPM. Adik-adikku, aku tahu mereka kagum akan aku dan hati mereka turut mencemburui peluang dan rezeki yang aku miliki untuk dijadikan kayu ukur untuk lebih berjaya.

Semudah mulut berbicara, bait-bait kata seorang kakak mendendangkan lagu, menghilang resah di hati adik-adiknya, “ kamu jangan risau, amanah kamu saat ini hanya belajar. Berusaha dan belajar. Selebihnya antara berjaya mahupun gagal, itu adalah urusan Allah untuk menduga hati hamba-hambaNya. Akak yakin, mak dan ayah tidak akan kecewa walaupun kita gagal sebab mereka tahu setakat mana usaha kita dan Allah pula dah berjanji orang yang berusaha itu pasti beroleh ganjarannya.”

Memang..Benar itu yang aku lakukan. Memiliki seorang ayah dan emak yang sangat memahami serta di anugerah seorang guru yang baru kukenali hasil kenalan dari teman-teman baru benar-benar mengubah aku menjadi seorang yang tekun untuk memperbaiki mata pelajaran yang kurang memberangsangkan. Di dalam martabat seorang guru, aku meletakkannya di martabat yang ke empat iaitu sang Murrabi. Tugasnya bukan sekadar seorang guru yang biasa yang kukenali. Mendidik dan membimbing mungkin perkara biasa sebagai sang guru namun didikannya adalah dengan mentarbiahkan anak didiknya menjadi insan yang mulia. Tiada didikannya, mungkin aku tiada di sini, di bumi Kelantan ini dan di dalam bidang ini. Keputusan 9 A di dalam SPM termasuk subjek Bahasa English yang paling lemah turut mendapat gred A. Semua ini hasil tunjuk ajar dan kesabarannya berada disisiku saat aku memerlukan bimbingan. Selingan kata-kata semangat sering mengiring sebelum ayah datang menjemput.

.......................................................................................................................................

Saban waktu aku terus mencari ruang untuk beruzlah di hadapan-Nya sejak aku di sini. Dugaan ini terselit seribu hikmah. Aku terasa terlalu dekat dengan-Nya. Walaupun jalan hidup ini sukar di mengertikan, lebih-lebih lagi dengan sesuatu kepayahan, namun Allah lebih mengetahui akan perincian setiap hamba- hamba-Nya.

Ayah pernah berpesan kepadaku sebelum meninggalkan anaknya ini di negeri orang melalui kalam suci-Nya yang terdapat di dalam surah Al- Baqarah, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”

Menitis air mataku saat itu dan senduku kian dalam saat emak memeluk tubuhku seraya berkata, “ terima kasih sebab tunaikan harapan mak dan ayah.”

.......................................................................................................................................

Kecekalannya di negara orang dengan jatuh bangun yang sukar diucapkan saat kejayaan diraih, tiada siapa yang mengerti. Aku terpaku saat dia menceritakan kisahnya. Meninggalkan keluarga serta kerjaya yang diminati lalu mengambil keputusan untuk mempelajari kembali ilmu yang pernah ditimba, akhirnya dia berjaya membuka sebuah pusat tuisyen sebagai tempat dia mencurah ilmunya kepada anak bangsa. Dia bukan seperti kebanyakan guru-guru di sekolah yang mengajar kerana ia satu kerjaya yang mengehendaki mereka untuk menjadi sedemikian namun dia cumalah guru kampungan yang mengajar anak-anak kampung di atas usaha dan inisiatifnya sendiri. Teknik dan pendekatannya sangat berkesan malah hasil didikannya banyak yang telah berjaya. Mengenalinya dengan lebih dekat, menjadikan aku kini lebih yakin untuk menjadi sepertinya.

“Mencipta ratusan kenderaan, zahirnya tampak sukar bukan? Mengkaji dan menetapkan fungsi pada setiap alatan serta peranti ciptaan manusia. Membentuk seorang insan pula nampak mudah seperti melihat hasil tanaman tapi menjaga dan memberi perhatian di waktu pembesarannya sangat sukar. Tanpa perhatian yang rapi belum tentu tanaman akan menghasilkan hasil yang baik. Tidak seperti kenderaan, manusia hanya menyediakan formulanya dan hasilnya boleh digunakan berulang kali dengan mengikut acuan yang telah ditetapkan ,” katanya panjang lebar meyakinkan aku untuk terus berdiri teguh di atas secebis ujian ini.

.....................................................................................................................................

“Adik, ibadah bukan terletak pada ukuran solat-solat wajib dan perkara-perkara sunat semata-mata. Jalan yang adik pilih saat ini samalah seperti jalan mencari keredhan Allah yang sedang kita lalui saat ini. Kedua-dua jalan ini jalan yang pasti. Jika kini kita berusaha mencari pahala melalui pembaikan amal dan ibadah tapi melalui kerjaya ini, pahalanya percuma tanpa perlu dicari. Harumnya tetap mewangi walaupun tidak sekaya si doktor mahupun si jurutera. Kita membaja di dunia dan hasilnya menanti di sana.” kata seorang kakak yang indah peribadinya di mataku.

Jika dulu negeri ini kecil dipandanganku tapi kini rasanya begitu berlainan. Jika ditanya mengapa, aku tiada jawapannya. Tetapi bila ditanya benarkah? Aku pasti menjawab, “aku sudah jatuh cinta.”

.......................................................................................................................................

Di antara kepahitan-Nya, Dia datangkan sesuatu yang lebih indah. Dalam tempoh dua tahun ku di sini, mataku terbuka luas. Rupanya di sebalik jerih rasa ini, Allah datangkan sesuatu yang membuatku terlalu bersyukur.

“Katakanlah (Muhamad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman” begetar dan menusuk jiwakku tatkala Ustaz Azhar Idrus mendedangkan Firman yang dipetik dari surah At-taubah. Itulah indahnya bumi Kelantan dan hikmah di sebalik berdirinya kaki aku di IPG ini.

Imam Ghazali pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan “memberontak” kepada Allah apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Di sini aku mula jelas bahawa rasa kehambaan seorang hamba dengan mudah, terlucut dan tercabut dari dirinya terhadap Allah disaat dia membuat keputusan untuk menzalimi dirinya sendiri tanpa disedarinya. Mengingat kembali akan semua dugaan ini, ia adalah wajar untukku diuji sebagai hambanya dan menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menjadikan aku lebih tenang.

“Nikmat dunia dan nikmat akhirat. Dua nikmat yang Allah datangkan dalam satu kepayahan. Sakit tetapi telah terbayar dengan nilai dari-Nya Alhdamdulillah...”bisik hatiku.

.......................................................................................................................................

“Assalamualaikum,Ustazah.” tegur seorang pelajar di sekolah tempat aku melaksanakan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) membuatkan aku terkedu dan termenung seketika.

“Eh, awak, itu Teacher Wardinahlah. Dialah yang ganti Teacher Aisya hari tu,” tegur Amalina memperbetulkan kawannya, Azliah.

“Hipokritkah aku dalam berpakaian sebegini? Berdosakah aku menipu pandangan seorang anak kecil yang belum tahu menilai ilmu didadaku, sedangkan ilmu agamaku masih belum cukup untuk digelar sedemikian?” banyak persoalan datang menyerbu fikiranku.

.......................................................................................................................................

Tersenyum meleret guruku saat aku datang menemuinya setelah hampir setahun tidak bertemu. Sesak dadaku dengan asakan persoalan yang bermain diminda ini sehingga aku menjadi malu dan mahu berlari keluar dari tempat itu.

“ Saya bahagia melihat pelajar saya yang seorang ini. Biar apa orang nak kata tentang awak, awak terimalah kritikan mereka dengan hati yang terbuka. Belajarlah segala ilmu kerana ilmu itu milik Allah dan ingat, lebih banyak ilmu yang kita timba semakin banyak kekurangan yang kita rasakan dan menimba itu tidak akan terhenti sehinggalah nyawa tercabut dari badan. Saya yakin awak mampu menjadi guru yang baik dan seimbang. Didiklah anak- anak murid awak seperti anak awak, moga dengan keikhlasan itu, sahamnya pasti akan menunggu diakhirat kelak.” sebuah senyuman dilemparkan sekali gus menjawab persoalan hatiku.

“Cikgu, saya dah bersedia untuk menjadi seperti cikgu. Mungkin tidak sepenuhnya menjadi seperti cikgu....kerana.......”kataku terputus.

“Kerana?” dia tertanya-tanya.

“Kerana.....cikgukan lelaki...saya perempuan...”terburai gelak kami mengurai kekusutan dijiwa.

Kini aku pasti dan yakin bahawa belajar itu adalah proses sepanjang hayat. Meskipun aku bakal seorang guru, bukan bererti aku tahu segala-galanya. Sebab itu di dalam surah Al- Alaq ayat satu hingga lima ada menyatakan, ”Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menjadikan manusia dari segumpal darah dan bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Mulia yang mengajar manusia dengan pena tentang apa yang tidak diketahuinya.”

......................................................................................................................

Tersenyum aku tatkala ini sambil mendengar lagu ‘Doa Kalbu’ yang benar-benar memotivasikan jiwaku di saat rapuh, “ Ya Allah, moga harapan mak dan ayahku ini mampuku galas dengan penuh amanah keranaMu dan semoga aku setia dan teguh dijalanMu ini. Ameen.”

Friday, May 20, 2011

Rahsia kerana sayang~

Air mata mudah jatuh kerana sayang..
Semuanya kerana sayang..

Ayah...
Ada suatu malam,
Aku menagis terkenagkan dirimu,
Tangisan ini bukan tangisan rutinku,
tapi tangisan ini benar-benar mengusik sanubariku,ayah...

Emak...
Ada satu saat aku menagis,
Aku menagis terbayang wajahmu..
tangisan ini bukan tangisan biasaku,emak..
tangisan ini tangisan batinku...

Ayah..mak..
Kau tahu tiada rahsia antara kita,bukan?
Rahsiaku menjadi rahsiamu,
Sehingga apa yang kukatakan rahsia,bukan rahsia lagi,
dari rahsia diri hingga ke soal hati,
kau tak pernah jemu mendengar dan terus mendengar,kan..
Tapi rahsia ini lain,mak dan ayah...
Dan rahsiaku ini kerana sayang..

Ayah..Mak...
Pada satu saat aku mula mengenal Tuhan kita,
Ada satu rahsia besar menjadi simpananku,
Kau pasti tertanya-tanya pada satu saat kau melihat aku menagis tiba-tiba..
Ayah..Mak..
ketahuilah...
tangisan itu bukan tangisan palsuku..
Jika dulu rahsia ku kuceritakan dengan hilai tawa,
Dan kau pasti bahagia melihat anak yang dibesarkanmu gembira,bukan?

Tapi...
Saat aku mula mengenal Dia,
Tangisan ini lah sebenarnya kebahagian yang kudambakan,
Rahsia besar ini terlalu sukar untuk kubuka,
Kerana aku hanya seorang anak yang tidak punya apa-apa...
siapalah aku...mak..ayah..

Rasanya aku telah hampir dewasa,
Aku bersyukur menjadi dewasa kerana didikanmu..
Namun dalam kedewasaanku dan kedewasaanmu..
Rupanya nikmat umur kita semakin berkurangan...
Ye,usia kita..mak..ayah...
Entahkan bila Allah datangkan Si Izrail untuk ketemukan kita dengan alam fana?
Samaada engkau terlebih dahulu dijemputNya..
Ataukah aku?
Segala jawapan dalam pengetahuanNya...

Mak..Ayah...
Ada sebutir telah jatuh menyembah bumi kala ini..
Ia mengalir laju dan deras..
Dimanakah kita kelakkan..?
Adakah kita akan berpimpinan tangan menuju syurga idaman kita?
Adakah kita pasti akan bersama?
Sebutir lagi jatuh...
Aku dah terluah dengan semuanya
Ku biarkan ianya mengalir tanpa diseka..
biar...biar ianya menjadi bukti sayangku pada engkau..

Mak..ayah...
Ku biarkan kalbuku berkata-kata..
Kuharapkan monologku ini menjadi butiran doa, mak dan ayah...
Mak..ayah...
Aku rindu ingin menatap wajahNya..
Wajah persuruhNya..
Tapi...
Aku rindu juga menatap wajah-wajah mereka bersama kalian..
Berdiri didalam satu keluarga sakinah..
Dibawah satu umat Muhammad..
Tapi..mak,ayah...
Rahsiah inilah membuatkan kukelu berkata-kata..
luahan kata-kata tak terucap..
Sehingga saban malam aku mengharap redha dan HidayahNya...
Aku tabirkan ungkapan ku dengan kata-kata "Segala puji bagi Allah tuhan sekalian Alam",
Agar tiada hijab untuk doaku dan doa kita...
Iyah qana'buduwaiyah qanastain...
Ya Allah sesungguhnya padaMu kami sembah dan kepadaMu kami pohon pertolongan...
Andai kesempatan diberi..
Dan ini pengharapanku dr Tuhan kita..mak ayah,
Aku ingin kau tahu rahsia ini,
Agar Allah luangkan kesempatan buat aku dan engkau,
Sebelum jemputan akhir sang Pencipta kerumahNya diundang..

Mak..Ayah..
Air mata ini mudah mengalir kerana sayang..
Sayangku pada kalian
Sayang pada rahsia besar hidupku untuk akhirat kita..mak..ayah...

Monday, May 9, 2011

Dalam aku bertatih

Saban waktu aku menjadi sang pemikir
kepada setiap hikmah ujianMu,
Ku tak pernah meminta diuji sebegini,
Dalam aku bertatih dijalanMu,
Aku seolah-olah semakin longlai dengan tomahan yang dilontarkan,
Hati terkadang teguh dalam tangisan,
Namun palitan pahit tetap terasa..
Dalam ku bertatih dijalanMu, Ya Allah,
Aku hampir tersungkur,
Sekalipun aku menagis,
Air mata menjadi menjadi saksi mencari kekuatan dariMu,
Tapi aku tetap jatuh...
Ku biar...
Kubiarkan kebencian menular dihati mereke..
Kata sahabat,
ini amanah pertamaku,
Allah menyakiniku diatas ujian ini,
menukar segala cemuhan,
serta membiarkan niat sebenar terungkai..
Biar dibenci...
Biar kalah dihadapan mereka...
Tapi katanya,
Dia yakin aku memenagi dalam diam..
Ya Allah..
Benarkah aku akan beroleh kemenagan syurgaMu?

Tuesday, November 9, 2010

tekanan itu pemangkin

Aku sering ditekan
ditekan dengan perjalanan hidup yang sering diperkatakan kejam oleh manusia yang mandul pemikirannya
tekanan satu penyiksaan
tekanan satu kegilaan
benarkah??
dalam melalui tekanan hidup ini
aq menjadi penilai yang bijak
yangbijak menilai keadaan
benarkah keadaan membentuk keperibadian kita?
aq mendifinisikan keadaan kepada dua
kau gembira!!
dan engkau tertekan!!
aq ingin menambah retorikku untuk mematangkan kematangan yang telah tersedia
bukan untuk mempersoalkan kebesan Illahi
tapi...
cuma sekadar mengikut saranan Al-quran dan sunnah nabi
dalam tekanan yang menekan
aq semakin pasti apa yang dijanji
tekanan membawa aq kejalan lestari
benarkah?
jika engaku menilai kemewahan yang terhidang
kau pasti akan bersenang lenang
tapi...
cuba kau tuntut kejerihan hidup
pasti kejerihan membangkitkan engkau dari kebelengguan durjana yang tak pernah kau impikan
aq pasti...
peluh jerih engkau pasti berteriak dengan penuh kesyukuran
kerana engkau ialah si bijaksana
yang terus bangkit dari ujianNya.

Friday, November 5, 2010

rasa..

biarlah aq membiarkan retorik itu,
untuk kau memanipulasikan sendiri
mungkin kita ada hati y hampir sama parasnya..
tapi jiwa yang ada tak pernah sama..
biar aq merasakan apa y aku terasa..
dan
kau teruskan apa yang kau rasa..

Sunday, October 24, 2010

Pasti...

jalan ini jalan payah
jalan berliku-liku penuh duri
kiri kanan perlu menghambakan diri
orang bijak dipuji-puji
orang tuli diperli-perli
jalan ini jalan payah
jalan penuh onak duniawi
tapi
angin kau pembangkit diri
dalam menyusuri mencari kali
kau bertiup memberi inspirasi
walau hati menagis dengan pandangan sinis
kau memujuk memberi motivasi
kau pesongi pandangan ilusi
kau bertiup sambil menasihati
kata orang jangan peduli
kalau berjaya engkau sendiri
orang bijak hanya menumpang diri
atas budi yang di tabur-taburi
yakin lah wahai ati ini
diatas kaki engkau berdiri
walau jalan ini kau takuti
demi kejayaan
ia pasti...




Wednesday, October 20, 2010

Anyaman suratan dan takdir...


Suratan atau kebetulan??
Perkaitan memiliki anyaman yang tidak berbeza
hadir engkau membawa seribu macam rasa,kenagan dan iktibar
suratanya juga telah termaktub bahawa kita jatuh cinta
Indahnya hamparan cinta itu
cinta?
Ya,cinta yang membawa kita ke daerah kemerdekaan minda cinta
Ia diliputi rentetan retoriknya tanpa jawapan yang hakiki
kau bisa memanipulasi pelbagai alasan
dan begitu jugalah untuk diriku
atas alasan yang kita punya musabab tersendiri
benarkah musabab itu coraknya pada hamparan
Namun dimana kebetulan yang ingin diangkat martabatnya agar ia bisa menjadi setinggi puncak suratan??
ku ulangi lagi retorik demi retorik
untuk mendewasakan minda kita diatas kematangan kemerdekaan minda cinta
cis!
Lihatlah!!
Inilah kebetulannya
cinta yang tersisip tak seindah yang termimpi dek akal
cinta yang hadir telah ditolak semahu-mahunya
cinta ini tidak sekekal semampu mimpi-mimpi kita
Walau ini suratan takdir
Namun ini adalah kebetulan buat kita
Dapatkah kau lihat jelas anyaman ini??
anyaman suratan dan kebetulan tidak akan pernah terpisah
begitu juga dengan warna-warna yang bertemankan kita
kebetulan yang telah tersurat selama-lamanya
tanpa seorang pun yang layak tampil merabik-rabikan hamparan anyaman yang hakNya
kecuali Penganyam yang pasti pada kombinasi
pada anyaman suratan dan kebetulan ini...